Sunday, August 14, 2011

Apakah jodoh kita tepat?



rencana ini ditulis oleh DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Apakah petua untuk cepat jodoh? Pada saya cepat jodoh bukanlah isunya berbanding apakah jodoh kita tepat. Berapa ramai orang mengalami petaka dalam hidup oleh jodoh yang tidak serasi. Berkahwin itu senang tetapi membina kebahagiaan hasil daripada perkahwinan itu bukanlah begitu senang.
Sepatutnya kita tidak perlu terlalu risau oleh jodoh yang lambat tetapi risaulah kalau-kalau jodoh kita itu nanti hanya memberikan kesusahan pada kita. Terlalu banyak rumahtangga yang terpaksa mengharungi onak dan duri kehidupan meskipun pada awalnya semuanya kelihatan okey.
Apabila satu hari saya dihubungi oleh adik dari ibu angkat di Batu Pahat, saya berasa sangat simpati, sebab ibu angkat saya itu sangat baik dan seluruh anak-anaknya baik-baik belaka terhadap saya. Apabila saya mendengar dia juga terpaksa mengalami cabaran perasaan oleh suami yang sampai hati, zalim dan tidak bertanggungjawab saya seperti terpanggil untuk membantu hingga ke akar umbi.
Sebenarnya adalah lebih baik lambat kahwin daripada terpaksa hidup dengan orang yang pincang perasaan. Di Rochester, Amerika Syarikat, seorang lelaki, Gilbert Herrick berkahwin buat kali pertama semasa dia berumur 99 tahun. Mengapa hingga sebegitu lama?
Herrick yang pernah menjadi askar semasa Perang Dunia Kedua melangsungkan perkahwinan dengan seorang balu berusia 86 tahun, Virginia Hartman.
"Saya tidak pernah menemui seorang wanita yang sesuai sehinggalah saya menemui Virginia," kata Herrick.
Ketika ditanya sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung jika dia mempunyai nasihat mengenai hubungan romantik, Herrik berkata, "Cinta akan mencari anda." – (Agensi 25 Jun 11)
Andainya jodoh terus tidak kesampaian sehingga penghujung usia, itu bukanlah lambang kekurangan, yang jelas beban yang tidak perlu digalas. Tanggungjawab dan kewajipan perkahwinan bukanlah mudah, andainya gagal dipenuhi ia mendatangkan dosa. Pada yang tidak berkahwin hingga ke sudah mereka bebas dari sebarang persoalan berkaitan hak-hak pasangan di akhirat kelak. Memang betul perkahwinan adalah laluan mudah untuk ke syurga, tetapi andainya gagal menjalankan tanggungjawab yang membawa dosa adalah lebih baik hidup tanpa perkahwinan pun.
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, mengatakan 30% wanita di antara umur 25 dan 29 tahun belum berkahwin berbanding 25% untuk lelaki di antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang. – (BERNAMA 24 Mei 11)
Melihat angka sebegitu banyak, nyatalah anda bukan keseorangan dalam situasi yang serupa. Ada ramai rupanya yang masih bersendiri dan bukan sahaja mereka itu wanita malah lelaki tidak kurang juga.
Jadi, adalah tidak betul menganggap anda telah kehilangan sebahagian daripada sebab untuk berbahagia andainya belum bertemu jodoh. Andainya jodoh itu datang dengan mudah sambutlah ia dengan mudah, andainya ia sukar lagi payah, anggap sahaja kecepatan bukanlah terbaik buat anda. Andainya ia tidak datang-datang juga dan andainya hingga ke sudah, itulah rahmat TUHAN untuk memudahkan laluan anda ke syurga. Mereka yang tiada tanggungan bakal lebih mudah kira-kiranya untuk menikmati ganjaran terbaik di akhirat. Dan di syurga sudah sedia menanti segalanya termasuk soal pasangan hidup.
Firman ALLAH SWT bermaksud, “Sesungguhnya TUHAN-mu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-NYA (menurut undang-undang dan peraturan-NYA) dan DIA juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya DIA Maha Mendalam Pengetahuan-NYA lagi Maha Melihat akan hamba-NYA.” (Surah Al-Israk, ayat 30)
Sabar, solat dan sedia adalah tiga ungkapan penting dalam menghadapi apa jua.

alhamdulillah....

3 comments:

Cik Ice said...

Yup..kalau lambat x perlu risau..sbb Allah dah janji setiap benda diciptakan berpasangan..begitu juga lah manusia..x di dunia d akhirat sana..:)

Anonymous said...

Alhamdulillah...syukran Jazilan utk info yg bgus..
sy da hampir berputus asa kerna msh lg xbertemu jodoh..

Ary said...

alhamdulillah...syukur... smg kita sama2 bertemu jodoh...:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...