Aku dik, nak bagi contohlahkan. Ni salah satu filem islamik. Aku kopi pes jer dari rakan fb yang baru aku add. Tak tahulah dia dah terima add aku. Ha ha. Sejujurnya aku belum tengok. Dan mungkin tak tengok. Tengoklah nanti. Aku ni penakut dik, nak tengok cite seram? Taklah weiii...
3 perkataan untuk menggambarkan filem Munafik 2 : Meremang, Seram dan Menginsafkan.
Aku fikir Syamsul Yusof telah letakkan KPI kepada diri sendiri, filem yang terbaru mesti lebih bagus dari filem yang sebelumnya, dan itulah yang bakal kau perolehi setelah menonton filem terbarunya ini.
Tiada masa yang dibazirkan! Kau akan dibawa mengikuti setiap babak bermula dari minit pertama hingga ke akhir. Sedar-sedar cerita dah habis.
Itulah penangan filem ini tuan puan!
Jujurnya, jalan cerita Munafik 2.0 berkali ganda lebih baik dari yang pertama. Seram ya ampun! Plot cerita lebih mendebarkan. Penuh teka teki.
Watak Abuja lakonan Nasir Bilal Khan benar-benar menjadi. Jahat sungguh! Mulut aku tak habis-habis menyumpah celaka betul Abuja ni. Kurang ajar betul.
Maya Karin? Beliau membawa watak Sakinah, anak kepada Imam Malik. Jika Nabila Huda sebagai Maria berjaya melakonkan babak dirasuk jin syaitan hingga menjerit DAJJAL, apa kurangnya dengan Maya Karin.
Real sungguh beliau menjilat darah di lantai. Bila dirasuk jin, ganasnya lain macam. Paling seram, jin yahudi dalam badannya bercakap dalam bahasa arab, berlawan dengan Ustaz Adam. Hinggalah sekali lagi jin ini menyebut, Dajjal akan datang menyesatkan manusia, memerintah dunia selama 40 hari, sama macam Maria.
Lagi lama dirukyah, lagi banyak yang dibicarakan hinggalah menjerit Yakjud Makjud, Yakjud Makjud. Oh My!
Aku tak mahu ulas setiap babak dalam filem, nanti jadi spoiler pula. Cuma aku sangat tertarik dengan cara Syamsul Yusof berdakwah.
Kenapa Nasir Bilal Khan wataknya bernama Abuja? Jawapannya ada di babak terakhir. Ustaz Adam menyebut, "inilah Firaun pada zaman ini."
Terus aku teringat kata-kata Nabi saat Abu Jahal dibunuh ketika Perang Badar. Rasulullah sebutkan, Abu Jahal itu Firaun pada zaman ini."
Jadi, dapat aku simpulkan watak dan nama Abuja itu diambil contoh dari Abu Jahal, musuh kuat Nabi saat Islam baru mula bertapak di Mekah dan awalan di Madinah.
Yang kedua, ada satu momen Ustaz Adam membaca doa yang disarankan Nabi selepas habis bacaan Tahiyat Akhir. Ia bermaksud, "Aku berlindung kepadaMu dari azab kubur, aku berlindung dariMu dari azab api neraka jahanam, aku berlindung dariMu dari fitnah hidup dan mati serta aku berlindung kepadaMu dari fitnah Al-Masihud Dajjal."
Sengaja Syamsul jadikan watak Abuja sebegitu. Seolah-olah nak audien tahu inilah perumpaan Dajjal Al-Masih yang akan muncul di akhir zaman nanti. Ramai yang mengikutinya, beliau ada kuasa untuk membunuh dan membiarkan sesiapa sahaja untuk hidup hingga manusia jadi buta untuk terlihat perkataan Kaf Fa Ra di dahinya.
Dalam filem ini, Mawi dan rakan-rakan tetap teguh beriman kepada Allah dan Rasul. Mereka tetap solat dan membaca Al-Quran, namun dilakukan secara sembunyi-sembunyi, di dalam rumah, tanpa pengetahuan Abuja dan pengikutnya.
Begitu juga dengan Sakinah, si Maya Karin. Bagi menyelamatkan akidah, beliau lari dari kekejaman Abuja dan membawa anaknya masuk ke dalam gua.
Mashaallah! Bukankah momen ini gambaran kisah pemuda Al-Kahfi yang menyelamatkan akidah mereka hingga bersembunyi di dalam gua?
Yang ketiga, jin iblis serta syaitan banyak menyedarkan umat Islam dengan dialog padu saat watak utama dirasuk. Aku perasan, banyak skrip rasukan iblis yang dituju tepat kepada kita, umat Islam terutama golongan ulamak, ustaz apatah lagi pengikutnya.
Boleh jadi, Syamsul sekalu pengarah mahu kita sedar kalau kau sukar untuk terima ajakan para daie untuk berbuat kebaikan, kau dengarlah apa yang nak diberitahu oleh jin iblis syaitan ini.
Mereka mahu menyesatkan. Biarkan umat Islam dalam kebodohan label melabel antara satu sama lain. Aku lebih mulia, lebih alim, lebih dekat dengan Tuhan. Jemaah aku lebih baik dari kau, ketua kami pemegang kunci syurga, hinggalah umat Islam berbunuhan sesama sendiri.
Inilah mesej yang ingin IBLIS sampaikan dalam Munafik 2.0. Umat Islam ini lemah, lembik dan mudah terpedaya dengan dunia. Cintakan kehidupan, takutkan mati.
Paling menakutkan, ayat Al-Quran dari Surah Al-Baqarah tentang ulamak yang Allah ibaratkan seperti anjing yang menjelir lidah diungkapkan dari dialog Ustaz Adam. Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiuun.
Entahlah kawan, speechless juga aku nak mengulas bab ini. Jika Hantu Kak Limah sarat dalam kritikan kepada marhaen, Munafik 2.0 pula kritikan keras buat kita Umat Islam. Entah bagaimana mahu menghadapi fitnah yang dibawa oleh Dajjal jika kaum muslimin seperti yang kita saksikan hari ini.
Ramai. Berbilion jumlahnya. Nampak kuat. Tetapi seperti buih-buih di lautan.
------------------------------
Pergilah menonton. Kena support filem ini. Tak ramai pengarah filem yang mahu mengangkat aspek keagamaan seperti Syamsul Yusof. Beliau genius!
Cuma, aku nak pesan kepada abang-abang di luar sana. Jika kau tonton bersama isteri, bersabar banyak-banyak ya. Pasti orang rumah kau tak henti-henti memegang lengan dan menyorok bawah ketiak sampai kau lenguh.
Kau kalau tak kahwin, jangan buat macam tu pulak. Kalau menggatal juga dalam pawagam, aku doakan jin yahudi yang rasuk Maya Karin datang dalam tidur dan cekik leher sampai kau sesak nafas. Amin.
Jadi, aku kasi 9/10 bintang untuk filem Munafik 2.0.
Akhi Fairuz Al-Jengkawi
#TukangReviewFilem
#TukangCeramahBudakSekolah
No comments:
Post a Comment