Peranan teman dan rakan adalah sangat penting dalam menentukan jenis seseorang itu. Rasulullah s.a.w. sentiasa mengingatkan hakikat ini dengan bersabda yang bermaksud:
"Seseorang itu mengikut agama temannya. Oleh yang demikian, hendaklah seseorang itu meneliti (memilih) sesiapa yang menjadi temannya". (Hadith Sahih)
Oleh yang demikian, seseorang yang inginkan sebuah kehidupan yang penuh bermakna, hendaklah mencari seorang teman yang dapat menyampaikan dirinya kepada sebuah makna kehidupan yang hakiki dan abadi.
Adapun bersahabat dengan golongan yang lalai daripada mengingati Allah s.w.t. dan lalai daripada menunaikan tanggungjawab kehambaan kepadaNya membawa kita kepada kelalaian jua. Hidup jika sekadar untuk kelalaian merupakan modal untuk mendapatkan kesengsaraan di akhirat kelak yang pasti datang.
Teman yang baik dan mengajak kita kepada Allah s.w.t. adalah teman yang akan bersama dengan kita di akhirat kelak dalam tautan persaudaraan kerana Allah s.w.t.. Adapun teman yang buruk dan sentiasa mengajak kita kepada kelalaian akan meninggalkan kita kesorangan dalam menghadapi kesusahan samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Persahabatan tanpa dasar iman dan persaudaraan kerana Allah akan membawa kepada permusuhan dan penyesalan.
Rasulullah s.a.w. juga menjadi teman dan sahabat yang paling berperanan dalam membentuk peribadi para sahabat r.a. yang bersama-sama dengannya. Ini kerana, Rasulullah s.a.w. bukan sahaja berakhlak dengan akhlak yang terpuji, dalam masa yang sama menyebarkan praktik akhlak terpuji tersebut kepada para sahabat Baginda di sekeliling Baginda s.a.w., dengan perkataan mahupun contoh perbuatan terutamanya.
Para sahabat r.a. yang sebelum itu tidak pernah mengenal realiti akhlak mulia kerana hidup dalam penuh warna kejahilan, setelahmana memeluk Islam dan ditarbiah di bawah bimbingan Rasulullah s.a.w., maka mereka mula mengenal suatu realiti yang lebih membahagiakan mereka, iaitulah sebuah kehidupan bermasyarakat yang dibina atas dasar keimanan dan kemurnian, sebuah konsep kehidupan yang jelas dan sempurna serta sebuah kehidupan yang abadi setelah kematian.
*petikan drpd:Raja Ahmad Mukhlis's Site
No comments:
Post a Comment